Solatlah Di Mana-Mana Apabila Tiba Waktunya


DIRIWAYATKAN daripada Jabir r.a: "Nabi Muhammad SAW pernah mengerjakan solat (sunat) sambil menunggang haiwan tunggangannya (rahilah) ke mana pun baginda menghadap dan ketika Nabi SAW hendak mengerjakan solat wajib Nabi SAW turun dari tunggangannya dan solat menghadap kiblat (Kaabah di Mekah). ~Riwayat: Al-Bukhari~

Huraian Hadis:

Islam mewajibkan kita melakukan solat malah haram ke atas kita meninggalkannya tanpa sebarang keuzuran yang dibenarkan syarak.

Sekiranya kita berada dalam musafir sekalipun kita juga diwajibkan solat. Terdapat berbagai-bagai kaedah dan pilihan yang telah digariskan termasuklah tata cara solat di dalam kenderaan sama ada kereta, perahu, kapal selam, kapal terbang mahupun dalam kapal angkasa.

Dalil yang membolehkannya selain daripada hadis di atas ialah hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah ibnu Umar r.a.

Seorang sahabat telah bertanya kepada Nabi SAW :"Bagaimanakah cara untuk saya bersolat dalam perahu ? Nabi SAW menjawab: Solatlah di dalamnya dengan berdiri kecuali jika engkau takut tenggelam.

"Hadith di atas adalah sebagai dalil keharusan bersolat di atas kenderaan tanpa mengira apa jua jenis tersebut kerana ia bukanlah berkenaan hukum perahu tetapi ialah keharusan melaksanakan solat di atas kenderaan seperti mana Nabi SAW dan para sahabat yang pernah bersolat secara duduk di atas binatang tunggangan mereka. Baginda memberi isyarat yang sujud lebih rendah daripada rukuk. Solat sebegini adalah sah jikalau benar-benar menghadapi kesukaran."

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia



Siapa Penghuni Syurga ?


DARI Abdullah, katanya: "Bersabda Rasulullah s.a.w. kepada kami: "Tidakkah kamu gembira bahawa seperempat dari penghuni syurga itu dari kamu? "Kata Abdullah kami pun segera mohon ditambah. Kemudian berkata pula beliau: "Tidakkah kamu gembira bahawa sepertiga penghuni syurga itu dari kamu?

"Kata Abdullah, kami pun mohon diperbanyakkan lagi. Akhirnya Rasulullah s.a.w. berkata: "Sesungguhnya saya mengharap bahawa seperdua dari penghuni syurga itu dari kamu. Dan ketahuilah! Bahawa bandingan jumlah kaum Muslimin dengan kaum kafir itu, laksana sehelai bulu putih ditubuh sapi hitam atau sehelai bulu hitam di tubuh sapi putih."-Riwayat Muslim
 
Huraian Hadith:

Umat Islam seharusnya bersyukur kerana dikurniakan hidayah dalam memeluk agama yang benar dan diredhai Allah SWT. Namun fenomena hari ini memperlihatkan kepada kita bahawa tidak semua yang menganut Islam itu benar-benar menghayati ajaran agamanya bahkan ada juga yang memilih agama lain (murtad).

Betapa mudahnya iman mereka tergoyah dek kerana godaan dan hasutan duniawi. Oleh itu benarlah seperti sabda Rasulullah SAW bahawa umat Islam itu ramai namun nilaian mereka hanyalah seperti buih-buih di lautan yang tidak mendatangkan apa-apa kesan.

Mereka mudah dipermain-mainkan oleh pihak musuh bahkan mereka sendiri bertelagah di antara satu sama lain. Justeru meskipun peluang untuk kita menghuni syurga Allah amat besar namun peluang tersebut tidak direbut oleh semua orang.

Ramai yang berebut mengejar nikmat dunia yang sedikit ini berbanding dengan nikmat akhirat yang jauh lebih besar. Kesesatan manusia hari ini tidak mustahil membuatkan iman mereka semakin kurang yang akhirnya cara hidup mereka seolah-olah tiada bezanya lagi dengan orang yang kafir.




Sajak Kehidupan






Makna Sebuah Kehidupan...


Ketika insan melihat ke langit,

Lalu bertanya kepada dirinya,

Adakah langit sebagai hujungnya,

Hujung bagi sebuah kehidupan?


Saat insan melihat ke tanah,

Lalu hati terasa pasrah,

Adakah ini penghujung kisah,

Atau dari sini mulanya kembara,

Kembara menuju destinasi cinta?


Ketika insan mendengar firman,

Mencari jawapan daripada Tuhan,

Tentang makna sebuah kehidupan,

Lalu Allah memberi pedoman,

Tentang diri jua kehidupan,

Tentang yang pasti berbanding kepalsuan.


Hidup ini maknanya nyata,

Bagi mereka yang inginkan bahagia.

Hidup ini hakikatnya ada,

Pada kembara menuju cinta,

Cinta Tuhan yang Maha Pencinta.


Maka hiduplah dengan makna ini,

Duhai insan yang mengerti,

Andai kebahagiaan yang ingin dicari,

Kerana hidup di dunia cuma sekali,

Sebelum kembali ke akhirat yang pasti,

Sedang setiap pilihan akan ditanya,

Apa ertinya ini dan mengapa,

Bukankah tujuan diciptakan untuk mengabdikan diri,

Kepada Tuhan Maha Pencipta?


~Raja Ahmad Mukhlis Al-Azhari~

Amalahullahu bilutfiHi Al-Khafiy



Janji Rezeki Allah : Carilah Rezeki Yang Halal





RASULULLAH s.a.w bersabda yang maksudnya: Sesungguhnya roh al-Qudus telah datang kepada aku memberitahu bahawa seseorang itu tidak akan mati selagi tidak sempurna rezeki Allah S.W.T. kepadanya. Maka takutlah kepada Allah S.W.T. dan berusahalah dengan baik; dan lambatnya datang sesuatu rezeki itu janganlah menjadi pendorong kepada kamu untuk melakukan usaha mencari rezeki berbentuk maksiat kerana sesungguhnya rezeki Allah S.W.T. tidak akan dapat diperolehi melainkan dengan cara ketaatan."Riwayat Ibn Majah dan al- Tabrani

Huraian dan pengajaran Hadith:

i) Islam amat menitikberatkan masalah pencarian rezeki oleh manusia di mana setiap makhluk Allah itu telah ditentukan rezekinya masing-masing sejak ia berada di dalam perut ibunya lagi.

ii) Antara bahaya kemiskinan itu ia boleh membuatkan seseorang itu melakukan apa sahaja. Contohnya seorang perempuan akan sanggup menggadaikan sesuatu yang amat berharga yang ada pada dirinya kerana inginkan sedikit perbelajaan untuk keperluan harian, walaupun secara terpaksa dan sedar yang perbuatan itu adalah terkutuk, tetapi keadaan yang tertekan memaksa ia melakukannya.

iii) Mencari rezeki yang halal adalah kewajipan setiap mukmin. Oleh itu Islam amat menuntut supaya umatnya banyak bersabar dan jangan mudah berputus asa dalam mencari rezeki tetapi hendaklah berusaha bersungguh-sungguh, berdoa dan bertawakkal kepada Allah kerana rahmat Allah S.W.T adalah sangat luas dan Dia tidak akan mensia-siakan doa dan usaha hamba-Nya.



LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
TERKINI DI SINI